Resepi masak pajeri terung

Pajeri terung sedap

Saya memang seorang yang gemar makan terung. Tidak kisah dimasak dengan apa resepi. Selalu kalau saya tak cukup masa untuk masak, saya hanya bakar dan jadikan ulam. Hari ini saya ingin kongsikan resepi masak pajeri terung mudah. Ia antara resepi yang saya belajar dari ibu saya. Bau aroma kerisik semasa menumis membuatkan saya tidak sabar untuk makan. Pajeri terung mudah ini saya hanya gunakan bahan-bahan yang mudah didapati. Selalu kalau beli dekat kedai, terung sedikit keras. Saya suka masak sehingga terung sedikit lembik. Baru sedap.

Resepi pajeri terung mudah ini boleh digunakan jika anda nak masak pajeri nenas. Ia antara menu kegemaran keluarga saya, terutama ibu saya. Selalu saya akan masak pada hujung minggu, bila semua ahli keluarga balik. Baru meriah bila makan ramai-ramai. Resepi masak pajeri terung mudah saya buat sedikit olahan ikut sesedap rasa. Tak salah kalau kita, nak ubah resepi yang kita belajar, asalkan bahan dan sukatan yang digunakan tidak lari jauh dari yang asal. Ramai yang Tanya saya, pajeri kalau masak tak guna kerisik boleh ke? Jawapan saya boleh aja, asalkan anda suka.

Jangan kita buang masa lagi, jom ikut saya kedapur untuk lihat bahan-bahan masakan pajeri terung mudah dan cara penyediaannya. Selamat mencuba!

Bahan-bahan masak pajeri terung mudah

Berikut adalah bahan-bahan untuk memasak pajeri terung mudah. Antaranya ialah:

  • 3 biji terung panjang
  • 5 ulas bawang merah – saya gunakan bawang merah kecik
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 8 tangkai cili kering
  • 2 ulas bawang merah – dihiris nipis
  • 2 ulas bawang putih – dihiris nipis
  • 1 sudu besar udang kering – jika suka boleh ditumbuk kasar
  • 2 sudu besar kerisik
  • 2 sudu besar rempah kari daging
  • Santan pekat
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Gula melaka
  • Air asam jawa

Cara memasak pajeri terung mudah

Dibawah saya tulis langkah-langkah untuk memasak pajeri terung mudah. Antaranya iaitu:

  • Terung panjang dibelah dua atau empat. Mengikut selera anda.
  • Kemudian, panaskan minyak didalam kuali, gorengkan terung sekejap sahaja. Angkat dan toskan minyak.
  • Kisarkan cili kering, bawang merah, bawang putih dan halia sehingga halus.
  • Gunakan minyak yang sama dan tumis bawang putih, bawang merah dan rempah menumis sehingga naik bau. Kemudian masukkan bahan kisar dan masak sehingga pecah minyak. Masukkan udang kering. Gaul sebati.
  • Masukkan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air. Tumis lagi sehingga pecah minyak dan sedikit garing.
  • Kemudian masukkan santan. Kacau rata dan masukkan air asam jawa, garam dan gula melaka.
  • Akhir sekali masukkan kerisik, gaul sekejap dan terus masukkan terung yang digoreng tadi.
  • Pajeri terung mudah siap untuk dihidangkan.

Tips

Pilih terung yang masih segar dan sedikit keras supaya bila masak ia tidak mudah lembik. Pajeri terung sedap dimakan ketika panas-panas. Resepi ini boleh digunakan untuk masak pajeri nenas. Hidangan yang disediakan tadi untuk 5 orang makan.

Pajeri terung mudah sedap dimakan bersama ikan masin dan sambal belacan. Pasti membuka selera anda. Menu ini sesuai dihidangkan ketika makan tengahari dan makan malam. Masak dengan menggunakan api yang perlahan. Selamat menjamu selera.

Add new comment