Resepi itik masak kurma

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih pada yang sudi baca resepi saya. Ok, hari ni, saya update resepi yang cukup istimewa, resepi itik masak kurma. Tak semua suka makan itik, tapi telur itik ramai yang mengemarinya. Kalau masak lemak cili padi pasti berpeluh makan pula dengan nasi panas-panas. Itik adalah makanan kegemaran keluarga saya terutama suami. Boleh dimasak dengan pelbagai resepi antaranya itik masak kari, itik masak kurma, kerutuk itik dan sebagainya. Bergantung pada selera masing-masing.

Resepi itik masak kurma ni saya belajar dari ibu mertua sendiri. Rahsia masakan orang dulu-dulu, yang pasti sedap dan menyelerakan. Untuk resepi itik masak kurma saya kongsikan resepi yang ringkas dan cara masak yang paling cepat. Kalau nak mempercepatkan proses memasak, anda boleh rebus dulu itik sebelum dimasak supaya itik lembut. Terpulang pada citarasa sendiri.

Resepi ini sesuai untuk hidangan 3 atau 4 orang makan. Kalau keluarga yang ramai, anda boleh olah dan ubah cara masakan. Selamat mencuba!

Bahan-bahan resepi itik masak kurma

Berikut adalah antara bahan yang saya gunakan dalam masakan itik masak kurma:

  • 3 ketul itik – boleh pilih bahagian yang digemari.
  • 3 ulas bawang putih – dihiris kasar.
  • 3 ulas bawang merah kecik.
  • 1 inci halia – dipotong halus-halus.
  • 1 paket serbuk kurma – saya gunakan serbuk kurma Faizah.
  • 4 tangkai daun kari.
  • 3 cawan santan pekat.
  • 1 labu bawang besar – dipotong bulat atau empat
  • 2 biji cili merah – dipotong serong
  • Satu sudu teh gula dan garam – bergantung pada kuantiti masakan.

itik yang siap dibersihkan
Keterangan gambar: Itik yang siap dibersihkan.

bahan untuk menumis
Keterangan gambar: Bahan-bahan untuk menumis.

Cara-cara untuk masak resepi itik masak kurma.

Untuk resepi itik masak kurma ini, saya telah olah sendiri mengikut citarasa sendiri.

  • Pastikan itik anda dicuci dengan betul dan bersih. Cara untuk hilangkan hanyir bau itik, anda rendamkan bersama air asam jawa selama 10 minit. Boleh juga dicuci dengan limau nipis dan garam.
  • Kemudian, basuh itik sambil selawat dan toskan airnya sehingga kering.
  • Bagi proses menumis, tumis bahan asas dahulu seperti bawang merah, bawang putih dan halia sehingga naik bau. Gunakan api yang sederhana perlahan. Jangan guna api yang garang supaya bawang tidak cepat hangus.
  • Seterusnya, masukkan daun kari dan rempah kurma yang dibancuh bersama air. Tumis rempah kurma sehingga betul-betul pecah minyak. Macam mana nak tahu pecah sama ada rempah dah pecah minyak atau belum? Caranya, rempah anda akan mendidih akan bertukar warna dan naik bau yang cukup menyelerakan.
  • Setelah itu, masukkan itik dan gaul rata bersama rempah. Pastika setiap bahagian isi itik terkena bahan rempah. Masak itik sehingga ia betul-betul lembut. Untuk mempercepatkan proses masak, tutup kuali dan biarkan ia masak. Sesekali kacau itik supaya ia tidak hangit dibahagian bawah. Jika rempah dah nak kering, boleh tambahkan sedikit air.
  • Tungu sehingga itik masak, baru masukkan santan pekat. Kacau rata dan masukkan garam dan gula secukup rasa.
  • Apabila kuah mendidih dan sedikit pekat baru masukkan bawang besar dan cili merah sebagai hiasan.
  • Masak sehingga mendidih kemudian tutupkan api.
  • Itik masak kurma siap untuk dihidangkan.

resepi itik masak kurma
Keterangan gambar: Resepi itik masak kurma yang sedap.

Resepi itik masak kurma ini sedap dimakan bersama nasi biryani dan acar timun. Boleh juga dijadikan menu istimewa bagi tetamu yang dating kerumah anda. Selain itu, menu resepi itik masak kurma sedap juga dimakan bersama roti. Semoga dengan perkongsian resepi ini, membuatkan anda lebih bersemangat untuk memasak. Selamat menjamu selera.

Add new comment