Resepi gulai lemak ikan tenggiri

Rasa teringin nak masak resepi gulai lemak ikan tenggiri, kebetulan masa pergi pasar ada orang jual 4 ketul isi ikan tenggiri. Tanpa fikir panjang terus je sambar. Dalam fikiran antara resepi yang nak cuba masak ialah gulai lemak atau pun asam pedas. Hari ini, saya kongsikan resepi gulai lemak dahulu. Kemudian hari, kalau berkesempatan saya kongsikan resepi asam pedas ikan tenggiri pula.

Resepi gulai lemak ikan tenggiri ni kalau makan panas-panas bersama nasi putih, sambal belacan dan ulam pun dah boleh naik selera. Kenapa nama dia gulai lemak? Jangan salah sangka, bukan masak lemak tau, ni gulai lemak kerana saya guna santan yang banyak dan santan mesti kena pekat. Rempah jangan sikit, jangan pulak terlalu banyak nanti kurang sedap. Secukup rasa.

Hidangan resepi gulai lemak ikan tenggiri ini cadangan untuk 4 orang makan. Kalau keluarga yang ramai boleh tambah bahan-bahan mengikut citarasa sendiri. Jom ikut saya ke dapur untuk lihat antara bahan masakan yang saya gunakan. Selamat mencuba!

Bahan-bahan resepi gulai lemak ikan tenggiri

Antara bahan-bahan yang diperlukan ialah:

  • 2 ketul isi ikan tenggiri – bergantung pada saiz dan jumlah orang makan.
  • 3 ulas bawang putih – dihiris kasar.
  • 3 ulas bawang merah kecik.
  • 4 sudu besar rempah kari ikan dibancuh bersama setengah cawan air.
  • 4 tangkai daun kari.
  • 4 cawan santan pekat.
  • 3 biji tomato – jika suka.
  • 5 batang bendi
  • 3 biji cili hijau dan merah – untuk bagi pedas
  • 2 keping asam keeping – boleh juga gantikan dengan air asam jawa.
  • Satu sudu teh gula dan garam – bergantung pada kuantiti masakan.

Cara memasak resepi gulai lemak ikan tenggiri.

Berikut adalah cara-cara untuk masak gulai lemak ikan tenggiri.

  • Untuk hilangkan hanyir ikan, basuh ikan bersama asama keeping atau limau nipis. Rendamkan selama lebih kurang 5 ke 10 minit. Kemudian basuh bersih dan sejatkan air ikan tadi.
  • Kemudian, panaskan periuk untuk menumis. Masukkan 3 sudu besar minyak masak. Tunggu sehingga minyak betul-betul panas, jangan gunakan api yang garang nanti bahan tumisan mudah hangit.
  • Tumiskan bawang putih, bawang merah dan daun kari sehingga naik bau. Seterusnya, masukkan rempah kari ikan dan tumis sehingga betul-betul pecah minyak.
  • Seterusnya, masukkan santan pekat dan kacang bendi. Kacau selalu supaya santan tidak pecah minyak dan bahagian bawah tidak mudah hangit.
  • Apabila mendidih, masukkan isi ikan tenggiri dan perasakan bersama gula dan garam secukup rasa.
  • Perlahankan api, masukkan tomato, cili hijau dan cili merah. Tunggu sehingga ikan betul-betul masak.
  • Masak sehingga mendidih kemudian tutupkan api.
  • Gulai lemak ikan tenggiri siap untuk dihidangkan.

Tips

Semoga dengan perkongsian resepi gulai lemak ikan tenggiri ini memberikan idea kepada anda untuk hidangan masakan buat keluarga tercinta. Selamat menjamu selera.

Add new comment