Resepi daging masak kicap pedas

Hari ini saya ingin berkongsi resepi daging masak kicap pedas. Ia adalah resepi yang cukup ringkas tapi sedap. Resepi ini hanya menggunakan bahan-bahan asas sahaja, sangat sesuai bagi mereka yang selalu nak cepat bila memasak. Daging adalah lauk kegemaran keluarga saya. Selain dari resepi masak kicap, daging juga boleh dimasak kari, kurma atau rendang pun sedap. Selera masing-masing, citarasa pun takkan sama. Lain orang lain resepinya. Daging masak kicap pedas ini sesuai dijadikan menu makan tengahari dan juga makan malam.

Untuk resepi daging masak kicap pedas ini, anda boleh saja gunakan daging batang pinang atau daging import. Semestinya daging tempatan yang segar lebih enak. Namun, perbezaan harga yang agak besar membebankan terutama di zaman semua barang mahal ini. Bagi resepi ini, saya gunakan daging import saja. Selalunya kalau untuk rendang daging baru gunakan daging batang pinang. Pastinya rasa yang lain dan lebih sedap. Jom kita lihat antara bahan yang saya gunakan dalam resepi ini.

Bahan-bahan daging masak kicap pedas

Seperti saya katakan dari awal, cara masak yang cukup mudah dan pastinya bahan masaknya yang sangat ringkas. Hanya bahan asas sahaja. Antaranya ialah:

Daging segar yang telah siap di potong.

  1. 400 gram daging - dibasuh bersih dan 'selawat'. Toskan airnya sehingga kering sebelum masak.
  2. 4 bijik bawang merah kecik.
  3. 2 ulas bawang putih.
  4. Halia besar ibu jari.
  5. Kulit kayu manis, bunga cengkih dan buah pelaga.
  6. 2 sudu besar cili kisar - boleh kurangkan kalau tak suka pedas.
  7. 2 sudu besar kicap pekat lemak manis.
  8. 1 sudu besar sos tiram.
  9. Bawang besar, sebatang cabai besar, 3 tangkai cili padi dan daup sup untuk hiasan.

Bahan-bahan resepi daging masak kicap.

Cara-cara masak daging masak kicap pedas

Berikut adalah langkah untuk masak daging masak kicap pedas. Sangat senang dan ringkas. Diharap anda mencubanya dirumah.

  • Langkah pertama, panaskan minyak dan tumis kulit kayu manis, bunga cengkih dan buah pelaga sehingga wangi.
  • Langkah kedua, tumiskan bahan kisar sehingga naik bau dan agak kekuningan. Bahan-bahan kisar ialah, bawang merah kecik, bawang putih dan halia kisar sehingga halus. Tumiskan sehingga wangi.
  • Langkah ketiga, seterusnya apabila bahan tumis mula wangi masukan daging yang dibasuh tadi. Kacau rata dan masukkan air sebanyak 3 gelas besar. Tutupkan periuk supaya daging cepat lembut. Biarkan daging mendidih dengan elok. Tambahkan air jika daging masih liat. Ulangi proses ini sehingga daging betul-betul lembut.
  • Langkah keempat, apabila air daging mula kering, masukkan 2 sudu besar cili kisar dan kacau rata. Masak sehingga daging dan cili pecah minyak.
  • Langkah kelima masukkan kicap lemak manis dan sos tiram. Kacau rata dan tutupkan periuk balik. Perasakan bersama dengan garam dan gula secukup rasa. Rasa daging dahulu sebelum tutup api. Kalau daging masih liat, anda boleh terus tambahkan air kedalam daging dan masak sehingga daging betul-betul lembut.
  • Sebelum tutup api, taburkan bawang besar, cili merah dan cili padi kedalam daging masak kicap tadi, gaul sekata bersama daging dan kuah. Bagi yang suka makan berkuah boleh masukkan air sedikit jika kuah terlalu kering.
  • Akhir sekali, hidangkan daging masak kicap pedas bersama nasi putih dan sayur campur. Selamat menjamu selera.

Hidangan yang ringkas tapi sedap. Resepi daging masak kicap pedas ini jugak sesuai dimakan bersama nasi minyak ataupun roti. Jadikan menu ini sebagai hidangan istimewa untuk seisi keluarga anda pada hujung minggu. Pastikan anda mencubanya sendiri. Olah mengikut citarasa sendiri. Selamat mencuba!

Add new comment