Resepi sambal nasi lemak mudah

Sambal nasi lemak mudah

Resepi sambal nasi lemak yang mudah untuk disediakan. Seperti biasa nasi lemak dimakan pada waktu pagi. Cara untuk masak nasi lemak pasti ramai yang sudah tahu. Ia adalah sajian makanan yang ringkas dan terkenal dikalangan rakyat Malaysia. Kesedapan nasi lemak, bergantung pada kuah sambalnya. Dimasak dengan pelbagai jenis resepi dan cara yang tersendiri. Waktu masak lebih kurang setengah jam sahaja. Pasti ramai yang ingin tahu apa rahsia yang ada pada sambal nasi lemak saya. Ia antara resepi yang saya belajar dari ibu saya dan saya olah sedikit mengikut selera sendiri.

Terdapat banyak cara untuk memasak sambal nasi lemak. Ada yang mudah dan ada yang sedikit rumit. Kali ini, saya ingin kongsikan resepi yang mudah dan simple sahaja. Tidak memerlukan bahan yang banyak, saya hanya gunakan bahan yang sedia ada didapur sahaja. Bagi mereka yang selalu nak cepat, boleh cuba resepi ini dan ia pasti sedap. Bau aroma tumisan sambal akan membuka selera anda. Jangan buang masa lagi, ayuh ikut saya kedapur untuk lihat cara dan bahan masakan yang saya gunakan. Selamat mencuba.

Bahan-bahan untuk masak sambal nasi lemak mudah

Berikut adalah resepi bahan-bahan yang diperlukan untuk masak sambal nasi lemak yang mudah. Hidangan ini untuk 6 orang makan. Antaranya ialah:

  • 20 tangkai cili kering – potong serong supaya bijinya mudah keluar semasa proses merebus. Kemudian toskan airnya sehingga kering.
  • Segengam ikan bilis – separuh digunakan untuk dikisar dan separuh lagi digunakan untuk meumis.
  • 5 ulas bawang merah – saya gunakan bawang merah kecil saiz sederhana.
  • 3 ulas bawang putih.
  • 1 sudu teh gula dan garam.
  • Sedikit serbuk lada hitam – jika suka.

Cara memasak sambal nasi lemak mudah

Untuk memasak sambal nasi lemak mudah ini, anda hanya perlu ikut langkah-langkah yang telah disediakan. Semuanya telah disusun dengan mengikut aturan yang betul supaya masakan anda menjadi mudah.

  • Langkah pertama, kisarkan dahulu cili kering, bawang merah kecil, bawang putih dan bersama sedikit ikan bilis. Campurkan 1 sudu teh minyak masak semasa mengisar semua bahan tersebut.
  • Sebelum menumis bahan kisar, terlebih dahulu gorengkan ikan bilis sehingga garing. Angkat dan toskan minyak.
  • Gunakan minyak yang sama untuk menumis bahan kisar. Kacau rata dan masak sehingga sambal nasi lemak pecah minyak.
  • Masukkan 1 sudu teh gula dahulu. Teruskan masak sehingga kuah sambal masak dengan elok. Kacau lagi sehingga pecah minyak
  • Kemudian, perasakan dengan garam. Jika suka boleh masukkan sedikit serbuk lada hitam.
  • Masukkan ikan bilis yang digoreng tadi kedalam kuah sambal dan gaul sebati. Masak sekejap dan tutupkan api.
  • Sambal nasi lemak mudah siap untuk dihidangkan bersama nasi lemak kukus atau nasi lemak pandan.

Tips

Untuk masak sambal nasi lemak, jangan gunakan api yang terlalu garang. Gunakan api yang perlahan. Biarkan sambal masak dengan sekata supaya tidak sakit perut. Masukkan gula dahulu supaya warna sambal kelihatan lebih menarik. Masukkan sukatan gula lebih dari sukatan garam. Sambal akan lebih sedap jika manis sedikit. Kurangkan atau lebih mengikut selera anda sendiri.

Jika kuah terlalu pekat atau kering, tambahkan sedikit air sehingga menepati selera anda. Masak sehingga sambal menjadi kemerahan. Resepi sambal nasi lemak mudah ini juga boleh dimakan bersama lontong dan nasi impit. Sedap dimakan pada hujung minggu bersama keluarga tersayang. Selamat menikmati hidangan makanan anda.

Add new comment