Resepi nasi goreng sotong

Nasi goreng sotong istimewa

Hari ini saya ingin kongsikan satu menu yang mudah dan ringkas iaitu nasi goreng sotong. Saya memang suka makan nasi goreng. Selalu kalau takda masa saya masak nasi goreng kampung saja. Resepi nasi goreng sotong ini saya belajar dari salah seorang tukang masak tempat yang saya selalu makan. Rasa pedasnya pasti membuka selera anda. Lagi sedap kalau dimakan bersama sup kosong dan telur mata. Kalau tak ada selera nak makan, pasti saya masak resepi ini. Jika anda tak suka makan pedas boleh kurangkan cili api. Tak ada masalah. Bak kata bonda saya jangan takut untuk masak, cuba dulu, kalau tak sedap boleh cuba lagi.

Resepi nasi goreng sotong ini sangat istimewa. Selalunya nasi putih yang tak habis semalam, pasti saya goreng. Nasi goreng sotong ini boleh dihidangkan untuk sarapan keluarga atau makan malam. Saya gunakan sotong segar supaya rasa lebih sedap. Jom kita lihat antara bahan-bahan yang diperlukan dan cara untuk memasak nasi goreng sotong istimewa. Selamat mencuba!

Bahan-bahan masakan

Tidak banyak bahan masakan yang diperlukan untuk memasak nasi goreng ini. Selain sotong, bahan-bahan lain adalah barangan biasa yang digunakan dalam masakan. Berikut adalah bahan-bahan resepi nasi goreng sotong unutk hidangan 2-3 orang.

  • Nasi putih untuk 2-3 orang makan.
  • 3 ekor sotong segar – saiz sederhana.
  • 5 biji cili api – kurangkan atau tambah ikut sesedap rasa.
  • Segengam ikan bilis
  • 3 ulas bawang merah – saya gunakan bawang merah kecik.
  • 3 ulas bawang putih.
  • Sedikit serbuk lada hitam.
  • Garam secukup rasa.

Cara memasak

Apa yang istimewa dalam resepi nasi goreng sotong ini ialah cara memasaknya. Ikuti panduan cara memasak dibawah untuk mendapatkan rasa nasi goreng yang sedap.

  • Tumbuk ikan billis, bawang merah, cili api dan bawang putih sehingga lumat. Jika suka tekstur yang kasar, tumbuk sekejap saja. Mengikut selera masing-masing.
  • Panaskan minyak dan tumis bahan yang ditumbuk sehingga naik bau.
  • Kemudian masukan sotong dan gaul rata. Masak sehingga air sotong kering dan sehingga sebati.
  • Masukkan nasi yang diperoi dan goreng sehingga sebati.
  • Letakkan satu sudu kecil garam dan gaul sebati.
  • Nasi goreng sotong siap untuk dihidangkan.

Tips

Jika suka, boleh masukkan sedikit kicap lemak manis untuk penambah rasa. Sedap dimakan ketika masih panas-panas. Taburkan daun sup dan bawang goreng untuk hiasan. Boleh juga gantikan minyak masak dengan majerin. Ini akan membuatkan aroma tumisan lebih wangi.

Anda boleh menambah atau mengurangkan cili api mengikut selera sendiri. Tetapi apa yang membuatkan nasi goreng sotong ini lebih 'kick' ia kepedasannya. Anda boleh juga menabur serbuk lada diatas nasi setelah dimasukkan kedalam pinggan.

Variasikan menu makanan untuk hidangan keluarga. Saya selalu hidangkan dengan sup kosong atau dimakan begitu sahaja. Semoga resepi nasi goreng sotong menjadi menu sarapan istimewa buat anda dan keluarga dihujung minggu anda. Selamat menjamu selera.

Add new comment