Resepi nasi goreng kampung pedas

Nasi goreng kampung pedas

Sekali lagi, kita diberi nafas dan peluang untuk bertemu disini. Hari ini saya ingin berkongsi resepi nasi goreng kampung pedas yang sangat sedap. Nasi adalah makan ruji bagi rakyat Malaysia. Dimasak dengan pelbagai resepi turun temurun. Sebutir beras ibarat setitis peluh petani. Pepatah yang bonda saya selalu pesan. Kalau nasi yang tak habis dimakan, jangan dibuang. Simpan dalam peti sejuk. Esok boleh digoreng dan dihidangkan untuk sarapan pagi. Terdapat pelbagai jenis resepi untuk nasi goreng. Nasi goreng pattaya, nasi goreng ikan masin, nasi goreng ikan bilis dan sebagainya. Nasi goreng juga adalah menu yang paling mudah untuk dimasak.

Nasi goreng kampung pedas adalah masakan kegemaran suami saya. Ada sedikit perbezaan dari segi resepi dengan nasi goreng kampung biasa. Jangan kita buang masa lagi, ayuh sama-sama belajar resepi kegemaran ramai ini. Selain itu, bahan-bahan untuk memasak hanya menggunakan bahan asas sahaja. Tidak perlu untuk menggunakan bahan lain. Kesedapan dan kepedasan bergantung pada selera masing-masing. Selamat mencuba.

Bahan-bahan untuk masak nasi goreng kampung pedas

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak nasi goreng kampung. Boleh gunakan nasi yang disimpan didalam peti sejuk. Nasi diperoikan terlebih dahulu. Antara bahan-bahan yang diperlukan ialah:

  • Satu mangkuk nasi – Kacau nasi sebelum digoreng agar ia tidak berketul-ketul.
  • Segengam ikan bilis
  • 3 ulas bawang merah – dihiris nipis
  • 3 ulas bawang putih – dihiris halus
  • 10 biji cili padi – jika tidak suka pedas kurangkan
  • 2 biji cili merah besar
  • Sebiji telur
  • Satu ikat sayur kangkung
  • 3 ekor sotong – dihiris bulat
  • 2 sudu besar minyak masak
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Satu sudu besar kicap pekat – jika suka

Cara memasak nasi goreng kampung pedas

Berikut adalah cara-cara untuk memasak nasi kampung pedas

  • Tumbuk bawang merah kecil, bawang putih, ikan bilis, cili padi dan cili besar sehingga halus. Jika anda suka tekstur yang kasar boleh tumbuk sekejap sahaja.
  • Panaskan minyak dan tumis semua yang ditumbuk sehingga naik wangi.
  • Kemudian masukkan sotong. Boleh juga digantikkan dengan udang. Bergantung kepada selera sendiri.
  • Kacau rata, perlahankan api dan pecahkan telur. Tunggu sehingga telur separuh masak kemudian kacau rata.
  • Seterusnya masukkan satu sudu besar kicap pekat. Kacau rata
  • Langkah seterusnya, masukkan nasi yang telah diperoi tadi. Gaul sebati sehingga nasi mesra dengan bahan tumisan.
  • Apabila nasi sudah masak, masukkan sayur kangkung. Akhir sekali perasakan dengan garam dan gula.
  • Nasi goreng kampung pedas siap untuk dihidangkan.

Tips

Sebelum masukkan garam dan gula, rasa terlebih dahulu. Jika kurang baru tambahkan. Ikan bilis sudah masin dicampur pula dengan kicap pekat. Gunakan kicap lemak manis ia lebih sedap. Taburkan bawang goreng jika suka. Nasi goreng kampung pedas sedap dimakan panas-panas.

Jika anda seorang yang sibuk, bolehlah cuba resepi ini untuk dihidangkan kepada keluarga untuk menu makan malam. Masa yang diperlukan hanya 10 minit sahaja untuk disiapkan. Semuanya terletak pada diri anda sendiri. Air tangan ibu dan isteri pengikat kasih sayang keluarga. Kepada wanita yang berkerjaya, sesibuk mana pun anda, curilah masa untuk masak kepada keluarga. Selamat resepi nasi goreng kampung pedas ini dan selamat menjamu selera.

Add new comment