Resepi nasi ayam sedap

Nasi ayam sedap.

Resepi nasi ayam sedap adalah rahsia hidangan keluarga saya. Oleh kerana saya tidak bercadang untuk membuka restoran nasi ayam, maka resepi ini saya kongsikan agar ia turut menjadi hidangan kegemaran keluarga anda. Apa yang akan anda belajar ialah cara-cara memasak nasi ayam, ayam goreng yang enak, sup dan juga kicap nasi ayam. Semuanya saya kongsikan dari penyediaan bahan-bahan, sukatan sehingga ke tips untuk menghasilkan nasi ayam yang sedap tanpa sembunyikan apa-apa. Jadi, ikut betul-betul langkah memasak yang disediakan. Ada pasti berjaya.

Pengenalan nasi ayam

Nasi ayam ialah makanan kesukaan ramai di Malaysia. Tidak hairanlah kedai nasi ayam ada di merata-rata negeri yang kita kunjungi. Ramai yang mengatakan agak remeh untuk membuat nasi ayam dan lebih mudah menikmatinya dikedai sahaja. Namun sebenarnya ia tidaklah seremeh yang disangka. Disini saya sediakan resepi nasi ayam yang sangat sedap tetapi mudah dan ringkas untuk anda cuba. Ia tidak memerlukan bahan yang banyak dan hanya menggunakan apa yang sedia ada di dapur anda sahaja. Dengan sedikit masa, kesabaran dan kasih-sayang, anda pasti suka dengan hasilnya.

Bahan-bahan resepi nasi ayam sedap

Yang pertama perlu anda sediakan ialah bahan-bahan untuk merebus ayam. Ia penting bagi menghasilkan rasa dan aroma ayam yang menyelerakan. Untuk seekor ayam, beberapa jenis bahan diperlukan dengan sukatan seperti berikut:

  1. 1 ekor ayam dipotong lapan
  2. 2 ulas bawang putih ditumbuk
  3. 2 ulas bawang merah ditumbuk
  4. Halia dipotong nipis
  5. Sebatang serai diketuk

Seterusnya bahan asas untuk memasak nasi ayam perlu disediakan iaitu:

  1. 2 cawan beras dibasuh dan toskan airnya
  2. 3 cawan air rebusan ayam
  3. 2 sudu besar mentega atau minyak sapi untuk menumis
  4. Buah pelaga, kulit kayu manis dan bunga lawang
  5. 2 ulas bawang putih dan bawang merah di hiris nipis-nipis

Manakala bahan-bahan untuk sos cili pula ialah:

  1. 5 biji cili besar
  2. 2 ulas bawang putih dan bawang besar
  3. 1 sudu besar sos cili dan sos tomato
  4. 1 sudu kecil cuka makan
  5. Sedikit garam dan gula

Akhir sekali bahan untuk kicap nasi ayam:

  1. 1 sudu besar sos tiram
  2. Gunakan sedikit air rebusan ayam
  3. Kicap pekat

Langkah-langkah memasak nasi ayam

Langkah pertama (masak ayam)

  1. Bersihkan ayam dan toskan dahulu airnya dan gaul bersama bawang putih dan halia untuk hilangkan bau hanyir ayam.
  2. Rebuskan ayam bersama serai dan halia sehingga ayam masak.
  3. Bila ayam sudah masak angkat dan toskan airnya.
  4. Perapkan ayam dengan bahan perapan selama 2 ke 3 jam sebelum menggoreng.
  5. Kemudian goreng ayam dalam minyak yang banyak dan sehingga kekuningan.
  6. Angkat ayam apabila sudah masak.

Tips: Sangat penting untuk memastikan ayam goreng masak dengan betul. Jika terlebih masak, ayam akan menjadi garing. Bahan perapan akan menjadi hangit dan akan membuatkan rasa menjadi pahit.

Langkah kedua (masak nasi)

  1. Basuh beras dan toskan airnya
  2. Panaskan mentega atau minyak sapi dan masukan bahan tumis sehingga naik bau
  3. Kemudian masukkan beras dan air rebusan ayam tadi
  4. Masak menggunakan rice cooker seperti biasa

Tips: Anda boleh gantikan air dengan susu cair. Rasanya lebih enak dan berlemak. Boleh juga memasak nasi ayam dengan menggunakan periuk biasa tetapi masak dengan api yang perlahan.

Langkah ketiga (masak sup)

  1. Tumiskan bawang putih dan bawang merah sehingga naik bau.
  2. Masukkan perencah sup dan air.
  3. Kemudian masukan tulang ayam dan masak sehingga mendidih.
  4. Masukan garam dan gula. Bila masak taburkan daun sup.

Untuk memasak sup yang lebih sedap untuk nasi ayam, lihat artikel: Resepi masak sup ayam istimewa.

Langkah keempat (masak sos cili)

  1. Kisarkan semua bahan sos tadi dan tumis sehingga pecah minyak
  2. Masukan garam dan gula sebagai bahan perasa

Langkah kelima (sos kicap)

  1. Campurkan semua bahan kicap dan sejukkan seketika sebelum makan

Tips

Hiaskan bersama tomato, timun dan salad sebelum dihidangkan. Nasi ayam anda akan kelihatan lebih menarik dan menyelerakan.

Kesimpulan

Nasi ayam adalah makanan kegemaran rakyat Malaysia. Terdapat pelbagai resepi untuk memasak nasi ayam. Bagi yang benar-benar suka makan nasi ayam, anda mesti cuba resepi sedap yang saya kongsikan ini. Cara penyediaan yang ringkas, bahan yang diperlukan juga tidak banyak. Yang penting bahan asas mesti lengkap. Rasanya yang istimewa membuatkan saya sering diminta untuk memasak pada hujung minggu. Resepi nasi ayam sedap ini juga boleh dijadikan menu hidangan kepada tetamu yang datang ke rumah anda. Selamat mencuba!

Tags: 

Add new comment