Resepi nasi ayam kukus

Nasi ayam kukus

Nasi ayam merupakan menu makanan pilihan untuk dihidangkan kepada tetamu pada hari raya, rumah terbuka dan majlis-majlis tertentu. Terdapat pelbagai jenis nasi ayam yang popular antaranya nasi ayam hainan, nasi ayam berempah, nasi ayam kukus dan lain-lain. Untuk resepi nasi ayam ada pelbagai cara dan resepi yang diolah tersendiri dalam proses masakan. Hari ini, kami ingin kongsikan resepi nasi ayam kukus yang mudah dan pasti sedap. Kepada kaum ibu, yang ingin mengubah menu makan tegahari untuk keluarga, bolehlah mencuba resepi ini. Mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk masak nasi ayam kukus ini.

Bahan-bahan untuk masak nasi

Langkah pertama untuk masak nasi ayam ialah, sediakan bahan-bahan utama terlebih dahulu. Antara bahan-bahan yang diperlukan ialah:

  1. 2 cawan beras, basuh dan toskan air
  2. 3 cawan air – jika suka boleh gunakan air rebusan ayam atau pati ayam
  3. 2 ulas bawang putih
  4. 1 inci halia ditumbuk
  5. 2 helai daun pandan
  6. Sedikit majerin atau minyak sapi

Cara penyediaan nasi ayam

Untuk masak nasi ayam kukus ini, ada beberapa langkah supaya nasi dimasak dengan sempurna. Antaranya ialah:

  1. Basuh beras seperti biasa dan toskan airnya
  2. Panaskan majerin atau minyak sapi
  3. Kemudian masukkan bahan yang ditumbuk tadi dan goreng sehingga naik bau
  4. Masukkan beras yang dibasuh tadi dan goreng sebentar
  5. Kemudian, masukkan air gaul rata dan masak menggunakan periuk nasi seperti biasa
  6. Jangan lupa, masukkan daun pandan yang disimpul kedalam nasi, untuk mendapatkan bau yang wangi

Bahan-bahan untuk masak ayam

Untuk proses memasak ayam ini kukus ini sangat mudah. Antara bahan-bahan yang digunakan ialah:

  1. 1 ekor ayam dipotong lapan
  2. 3 ulas bawang putih ditumbuk kasar
  3. 1 inci halia ditumbuk
  4. 1 atau 2 batang serai ditumbuk halus
  5. Sedikit lada hitam
  6. 1 sudu besar sos tiram
  7. 1 sudu besar kicap pekat
  8. 1 sudu besar minyak bijan
  9. Garam dan gula secukup rasa

Cara penyediaan ayam kukus

  1. Masukkan ayam kedalam bekas kukus
  2. Masukkan semua bahan-bahan tadi dan perapkan selama 4 jam. Untuk mendapatkan rasa yang lebih enak, boleh perapkan semalaman
  3. Kukus ayam mengunakan api yang sederhana
  4. Kemudian kukus ayam sehingga masak

Bahan-bahan untuk sos cili

Nasi ayam tidak lengkap jika tidak disediakan bersama dengan sos cili. Antara bahan-bahan untuk membuat sos cili ialah:

  1. 10 biji cili merah besar - boleh kurangkan jika tidak suka pedas
  2. 2 ulas bawang putih
  3. 2 sudu besar cuka makan atau perahan limau nipis
  4. 1 cawan air – lagi sedap guna air rebusan ayam
  5. 1 sudu kecil serbuk pati ayam
  6. Gula dan garam secukup rasa

Cara penyediaan sos cili

  1. Kisarkan semua bahan-bahan diatas
  2. Masak bahan kisar tadi sehingga mendidih dan agak sedikit pekat
  3. Perasakan dengan garam dan gula

Tips

Semasa proses mengukus ayam, akan keluar minyak dan air ayam sendiri. Gunakan air ayam tadi untuk dijadikan sos kicap. Untuk tahu ayam masak atau tidak, anda boleh cucuk ayam mengunakan pisau dan ditekan sedikit kedalam isi ayam.

Nasi ayam kukus ini sedap dimakan begitu sahaja. Jika anda suka boleh disediakan bersama sup ayam. Hiaskan dengan tomato, timun dan salad. Pasti menyelerakan. Selamat menjamu selera.

Tags: 

Add new comment