Resepi cara memasak nasi lemak bonda

Kali ini saya ingin kongsikan resepi nasi lemak bonda kepada anda semua. Ini kerana saya tahu, nasi lemak adalah menu sarapan bagi rakyat Malaysia yang sangat popular. Selain roti canai, nasi lemak adalah menu yang dicari dan dihidangkan setiap pagi. Aroma nasi lemak dapat membangkitkan selera dengan baunya yang harum. Ia merupakan makanan tradisional dan resepi warisan bagi orang melayu.

Selain itu,nasi lemak adalah punca pendapatan bagi peniaga-peniaga kecil. Mungkin pada zaman sekarang, cara penyediaan nasi lemak sudah ada sedikit perbezaan dengan zaman dahulu. Kini nasi lemak dimasak dan diolah dengan resepi yang tersendiri. Selain itu, ia disajikan dengan pelbagai jenis lauk pauk.

Nasi lemak bonda cukup ringkas untuk dimasak. Resepi ini, adalah dari bonda saya sendiri dan mungkin ada sedikit penambahan bahan-bahan asas mengikut selera sendiri. Ayuh kita lihat antara bahan-bahan yang diperlukan dan cara memasak. Selamat mencuba.

Bahan-bahan nasi lemak

Berikut adalah antara bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak nasi lemak bonda. Sukatan ini adalah untuk 5 orang makan. Gunakan saiz cawan yang sama untuk sukatan beras santan.

  • 3 cawan beras - dibasuh bersih dan toskan airnya sehingga kering
  • 3 cawan santan pekat - mengikut sukatan nasi
  • 1 inci halia - dihiris nipis atau ditumbuk halus
  • 1 sudu teh garam - lebih atau kurang mengikut selera anda
  • Sedikit serbuk kunyit - sebagai pewarna jika suka

Cara memasak nasi lemak

Terdapat pelbagai cara untuk memasak nasi lemak bonda. Jika suka nasi lemak boleh dikukus. Untuk mewangikan nasi kisarkan sedikit daun pandan. Nasi lemak juga boleh dimasak seperti biasa dimana ini adalah cara yang paling mudah dan cepat.

  • Masukkan beras yang ditoskan air kedalam periuk nasi
  • Kemudian masukkan santan pekat. Kepada mereka yang kurang suka lemak, nisbah 1 cawan santan bersama 2 cawan air atau gunakan susu cair
  • Masukkan halia yang dihiris nipis dan 1 sudu teh garam. Boleh kurangkan jika tidak suka masin
  • Tanak nasi seperti biasa menggunakan dapur elektrik atau dapur gas
  • Gemburkan nasi apabila hampir masak untuk meratakan santan dan garam. Jangan kacau nasi terlalu lama kerana beras akan mudah patah.
  • Nasi lemak bonda siap untuk dihidangkan bersama sambal tumis dan telur rebus

Tips

Kurangkan garam kerana rasa yang terlalu masin membuatkan nasi lemak kurang enak. Anda juga boleh membancuh garam kedalam santan untuk membuatkan ia lebih sebati apabila memasak nasi lemak bonda.

Memasak nasi lemak adalah mudah dan ringkas. Ia tidak menggunakan bahan yang banyak. Anda boleh sajikan nasi lemak bersama sambal ikan bilis dan telur rebus. Anda juga boleh menambah kacang goreng dan timun sebagai tambahan. Selain itu, nasi lemak bonda sedap dimakan bersama sambal sotong, ayam goreng berempah, sambal udang dan rendang ayam atau daging. Semoga resepi nasi lemak bonda ini menjadi hidangan istimewa keluarga dihujung minggu anda. Selamat menjamu selera.

Add new comment