Resepi ikan masak sambal berlada

Ikan masak sambal

Ikan adalah protein yang diperlukan oleh badan manusia. Selain itu, terdapat beberapa jenis ikan yang dijual dipasar dan dimasak dengan pelbagai jenis resepi yang tersendiri. Ikan juga sedap jika digoreng garing dan dimakan bersama dengan nasi putih sahaja. Hari ini, kami ingin kongsikan satu resepi yang mudah dan sangat cepat untuk dimasak. Ia tidak memerlukan masa yang lama seperti masakan lain.

Resepi ikan masak sambal boleh dijadikan menu hidangan tengahari dan malam. Selain itu ikan masak sambal juga boleh dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung ke rumah anda. Menu ini tidak memerlukan kos yang tinggi dan hanya menggunakan bahan asas sahaja. Resepi ini telah saya ubah mengikut selera sendiri, anda juga boleh ubah mengikut citarasa yang tersendiri. Jom kita lihat antara bahan-bahan utama untuk membuat ikan masak sambal. Selamat mencuba.

Bahan-bahan masakan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan ikan masak sambal

  • 4 ekor Ikan kembung – boleh gunakan ikan yang lain
  • 20 tangkai cili kering – direbus dahulu dan dibuang bijinya
  • 5 ulas bawang merah kecik
  • 3 ulas bawang putih
  • Sebiji bawang besar – saya gunakan bawang Holland. Bawang dihiris nipis atau bulat. Terpulang kepada selera anda
  • 1 asam keping – boleh juga gunakkan asam jawa
  • Garam dan gula secukup rasa
  • serbuk kunyit
  • Sedikit lada hitam
  • Sedikit daun ketumbar atau daun sup – untuk hiasan dan dihiris halus

Cara-cara memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk membuat ikan masak sambal. Iaitu

  • Langkah pertama, kisarkan cili kering, bawang merah kecik dan bawang putih sehingga halus
  • Langkah kedua, basuh ikan sehingga bersih dan kelarkan sedikit
  • Kemudian lumurkan kunyit dan garam keseluruh bahagian ikan
  • Panaskan minyak didalam kuali dan goreng ikan sehingga kekuningan. Angkat dan toskan minyak.
  • Seterusnya, gunakan minyak yang sama dan tumiskan bahan kisar sehingga pecah minyak
  • Masukkan garam, gula, lada hitam dan asam keping. Tumis lagi sehingga cili masak. Boleh masukkan air sedikit jika, kuah kering
  • Akhir sekali, masukkan ikan yang digoreng tadi dan kacau rata. Jangan lupa masukkan bawang besar yang dihiris bulat
  • Taburkan daun sup atau daun ketumbar sebagai hiasan
  • Ikan masak sambal sedia untuk dihidangkan

Tips

Untuk membeli ikan, lihat insang dan mata ikan terlebih dahulu untuk pastikan ikan masih segar atau tidak. Gunakan ikan yang segar untuk memasak supaya resepi anda akan lebih sedap. Rasa dahulu sebelum anda letakkan garam, kerana ikan sudah dilumur dengan garam.

Kepada yang baru belajar masak, cuba dahulu resepi yang mudah dan cepat ini. Ikan masak sambal sangat sedap disaji bersama ulam-ulaman dan sambal kicap. Masaklah dengan penuh kasih sayang dan ikhlas supaya setiap masakan anda akan diingati oleh sesiapa pun yang menjamah menu hidangan anda. Kongsikan bersama kami, jika anda telah mencuba resepi ikan masak sambal ini. Selamat menjamu selera.

Add new comment