Resepi gulai ikan temenung simple

Gulai ikan temenung

Hari ini saya ingin kongsikan satu resepi kegemaran orang Kedah. Resepi gulai ikan temenung simple. Saya memang berasal dari Kedah. Menu yang pertama saya masak juga ialah gulai ikan temenung. Dimana-mana saja anda pergi di Kedah, pasti ada masakan ini. Ikan temenung atau orang KL sebut ikan kembung ialah sajian masakan yang cukup mudah untuk disediakan.

Resepi ikan temenung simple ini, saya belajar dari ibu saya. Beliau memang pakar masak gulai ikan temenung. Rahsia kesedapan masakan bergantung pada kuahnya, jangan terlalu pekat dan jangan terlalu cair. Gunakan sebiji kepala sahaja jika untuk masak 7 atau 8 ekor ikan. Resepi ini untuk hidangan 5 orang makan. Seeloknya anda cuba dulu resepi ini mengikut sukatan bahan yang saya cadangkan. Dapatkan rasanya dan kemudian bolehlah tambahkan atau kurangkan sukatan bahan-bahan bergantung pada jumlah orang makan.

Minggu lepas, saya ke Kuala Kedah. Kalau ke Kuala Kedah, pasti saya akan singgah makan di Gerai gulai ikan temenung ini. Ia menyediakan pelbagai jenis lauk pauk, tetapi gulai ikan temenung antara menu yang dicari setiap pengunjung yang singgah ke gerai ini. Rasa ikan manis dan ia menggunakan ikan segar, membuatkan gerai ini tidak putus-putus menerima kunjungan tetamu. Rasa gulai temenung yang sangat sedap, kuah yang cukup rasa membuatkan saya ingin mencuba memasak dirumah. Ayuh ikut saya ke dapur untuk masak gulai ikan temenung simple. Selamat mencuba!

Bahan-bahan gulai ikan temenung simple

Berikut adalah bahan-bahan untuk masak gulai ikan temenung simple. Antara bahan yang saya gunakan ialah:

  • 3 ulas bawang putih – dihiris kasar.
  • Satu pekat rempah ikan – saya gunakan rempah Faiza.
  • 3 ulas bawang merah kecil – dihiris kasar.
  • Satu sudu teh halba campur.
  • 3 tangkai daun kari.
  • 6 ekor ikan temenung segar.
  • Santan pekat.
  • 2 biji tomato.
  • Garam dan gula secukup rasa.

Gunakan tomato yang segar dalam masakan

Cara memasak gulai ikan temenung simple.

Untuk resepi gulai ikan temenung simple ini, saya sediakan cara masak yang paling mudah untuk anda pelajari.

  • Bancuh rempah ikan bersama dengan sedikit air sehingga ia menjadi pes.
  • Kemudian, tumbuk 2 biji bawang merah, 2 ulas bawang putih dan halba campur sehingga lumat.
  • Seterusnya, gaulkan bahan tumbuk tadi bersama rempah ikan sehingga sebati.
  • Panaskan minyak, masak dengan api yang sederhana supaya bahan tumisan tidak mudah hanggit.
  • Tumiskan bawang merah, bawang putih dan daun kari sehingga naik bau.
  • Kemudian masukkan rempah dan kacau sekata. Masak sehingga rempah pecah minyak. Kacau sentiasa supaya bahagian bawah tidak mudah hangit.
  • Seterusnya, masukkan santan dan asam keping.
  • Masukkan garam dan gula secukup rasa, tunggu sekejap dan masukkan ikan dan tomato.
  • Masak sehingga mendidih dan tutupkan api.
  • Gulai ikan temenung siap untuk dihidangkan.

Tips

Jangan masak ikan dan tomato terlalu lama ini kerana rasa manis pada ikan dan masam tomato akan hilang. Apabila kuah tengah mendidih, terus masukkan ikan dan tomato. Masak lebih kurang 5 ke 10 minit dan tutup api. Boleh juga gantikan tomato dengan timun atau bendi. Terpulang kepapda selera sendiri.

Gulai ikan temenung simple sangat sedap dimakan panas-panas bersama nasi putih, ulam dan sambal belacan. Ia adalah menu yang sesuai untuk makan tengahari. Jika di Kedah, sarapan pun orang dah cari gulai temenung. Anda boleh mencuba sendiri resepi gulai ikan temenung yang cukup mudah dan ringkas. Rasakan apa yang istimewanya. Semoga resepi ini menjadi menu hidangan anda dihujung minggu. Selamat menjamu selera.

Add new comment