Resepi rendang ayam warisan

rendang ayam warisan

Rendang ayam warisan adalah resepi turun-temurun keluarga saya. Ia selalu dihidangkan pada hari raya dan rumah terbuka. ia juga boleh dimakan bersama pulut kuning atau nasi lemak. Sangat sedap, pasti akan membuka selera anda. Rasa rendang yang tidak terlalu pedas, kuah yang pekat dan boleh tahan lama. Kali ini saya ingin kongsikan resepi rendang ayam warisan yang diolah mengikut citarasa sendiri.

Bagi mereka yang suka makan rendang, tapi kurang mahir, anda boleh mencuba resepi ini. Resepi ini boleh digunakan untuk memasak rendang daging. Ada dua cara untuk memasak rendang, kaedah pertama, tumiskan semua bahan kisar bersama sedikit minyak, manakala untuk cara kedua masukkan bahan kisar bersama santan pekat dan masak sehingga pecah minyak. Saya lebih gemar untuk ikut kaedah pertama. Anda juga boleh olah resepi ini mengikut selera sendiri.

Rendang ayam warisan, lebih sedap jika masak menggunakan ayam kampung. Manis isi ayam kampung lebih sedap bila dimakan. Untuk masak rendang ayam warisan, gunakan api yang perlahan supaya kuah dan ayam sebati. Ayuh kita lihat antara bahan-bahan yang diperlukan memasak rendang ayam warisan. Selamat mencuba.

Bahan-bahan memasak rendang ayam warisan

Berikut ialah antara rempah dan bahan yang diperlukan untuk menyediakan rendang ayam warisan. Resepi ini untuk 5 orang makan.

  • 7 ketul paha ayam – Boleh juga gunakan 1 ekor ayam atau bahagian yang disukai. Keluarga saya lebih suka paha ayam.
  • 15 biji cili kering – direbus dahulu dan buang bijinya.
  • 10 biji bawang merah kecik – dihiris kasar untuk dikisar bersama bahan lain.
  • 4 ulas bawang putih – dihiris kasar
  • 3 inci halia – dipotong kasar
  • 3 inci lengkuas – dipotong kasar
  • 3 cawan santan pekat
  • 3 batang serai – dihiris kasar
  • 2 sudu makan kerisiki – jika suka boleh tambahankan sukata, mengikut selera anda
  • 2 sudu teh garam dan 2 sudu teh gula
  • 3 helai daun kunyit – untuk hiasan dan aroma yang wangi pada rendang
  • Gula dan garam sebagai penambah perasa

Cara memasak rendang ayam warisan

Memasak rendang ayam warisan ini hanya ikut langkah-langkah yang disedikan dibawah. Cara untuk memasaknya tidak terlalu remeh. Cukup mudah untuk dilakukan. Berikut ialah cara-cara memasak rendang.

  • Bersihkan ayam dan rendam dengan limau kasturi supaya hanyir ayam hilang. Kemudian toskan airnya.
  • Kisarkan cili kering, bawang merah kecik, bawang putih, halia, lengkuas dan serai sehingga halus.
  • Kemudian panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak. Masukkan 1 cawan air jika kuah terlalu pekat. Masak sehingga mendidih.
  • Seterusnya, masukkan paha ayam dan gaul rata bersama kuah rendang. Pastikan semua bahagian ayam digaul dengan kuah. Tutupkan kuali dengan tudung kuali, supaya isi ayam masak dengan baik
  • Semasa proses memasak ayam, perlahankan api.
  • Jika kuah kelihatan sedikit kering, masukkan santan pekat dan kacau sehingga sebati.
  • Teruskan proses memasak dan masukkan kerisik
  • Kemudian masukkan garam dan gula. Rasa dahulu, jika kurang masin atau manis tambah sehingga menepati rasa anda.
  • Akhir sekali hirisankan daun kunyit dan taburkan di atas kuah.
  • Rendang ayam warisan siap untuk dihidangkan

Tips

Masakkan kuah rendang sehingga pekat dan bertukar warna gelap sedikit. Cara ini akan membuatkan rendang anda tahan lama dan tidak mudah basi. Boleh kurangkan sukatan santan jika tidak suka lemak. Jika anda masukkan minyak yang banyak semasa menumis, keluarkan sedikit minyak dan teruskan proses memasak.

Rendang ayam warisan juga sedap dimakan panas-panas bersama nasi putih. Boleh dijadikan menu pilihan untuk keluarga pada hujung minggu. Jika anda suka rasa rendang yang pedas, boleh kisarkan bersama cili padi. Rendang ayam warisan juga sedap dimakan bersama ketupat dan lemang. Jadi, jangan lupa untuk mencuba resepi rendang ayam warisan di hari raya nanti. Selamat menikmati hidangan istimewa ini bersama keluarga tersayang.

Add new comment