Resepi masak sup ayam istimewa

Sup ayam istimewa

Kali ini saya ingin kongsikan resepi sup ayam istimewa yang paling mudah nak masak. Sediakan bahan-bahan yang diperlukan dan masukkan semua bahan, dalam 10 minit siap untuk dihidangkan. Cepat dan sedap. Masakan yang paling ringkas. Saya selalu masak resepi sup ayam sedap dan istimewa ini kalau bahan dapur semua habis. Nak pergi pasar, rasa malas jadi masak menu yang senang saja. Janji sedap dan keluarga suka. Saya selalu masak menu ini untuk berbuka puasa, sahur dan sedap juga dimakan dengan roti bakar. Makan panas-panas. Kalau demam memang sup ayam istimewa ini yang akan dimasak.

Walaupun resepi ini ringkas sangat dan budak-budak sekolah pun boleh masak tapi rasanya sangat sedap. Kenapa sup ayam istimewa? Rahsianya saya tidak menggunakan rempah sup atau sup bunjut. Semuanya asli. Resepi sup ayam istimewa ini boleh dimasak bersama daging, kambing atau tulang. Lebih sedap kalau guna ayam kampung. Bagi mereka yang gemarkan sup dan nak belajar cara masak sup asli, ini adalah resepi yang sesuai untuk anda. Jom ikut saya ke dapur untuk lihat bahan-bahan masakan dan resepi sup ayam mudah ini.

Bahan-bahan masak sup ayam istimewa

Resepi sup ayam istimewa ini memerlukan beberapa bahan yang mengeluarkan aroma untuk membuka selera. Berikut adalah bahan-bahan untuk memasak sup untuk hidangan 4-5 orang makan.

  • 4 ketul dada ayam – dipotong kecil dan bersihkan. Boleh juga dicampur dengan tulang dan kaki ayam. Rasa yang sedap.
  • 1/2 batang lobak merah – dipotong panjang atau bulat. Mengikut selera anda.
  • 2 biji kentang – dipotong empat.
  • 1 biji tomato – bagi menghasilkan rasa sedikit masam dan menambah kelazatan sup.
  • Sedikit daun sup dan daun bawang – dihiris halus.
  • 1 batang kulit kayu manis.
  • 2 kuntum bunga lawang.
  • 3 kuntum bunga cengkih dan sebiji buah pelaga<./li>
  • 1 sudu besar minyak masak.

Bahan-bahan untuk dikisar

Ada beberapa bahan-bahan dalam resepi sup ayam istimewa ini yang saya kisar. Jika anda suka tektur yang kasar, boleh kisar sekejap saja. Boleh juga ditumbuk semua bahan. Antara bahan yang diperlukan ialah:

  • 3 ulas bawang merah – saya gunakan bawang merah kecik. Rasanya lebih sedap dan manis.
  • 3 ulas bawang putih.
  • 1 sudu teh jintan manis – digoreng tanpa minyak. Sekejap sahaja.
  • 2 biji buah keras.
  • 1 sudu besar lada hitam – boleh guna yang serbuk.
  • 1 sudu teh jintan putih – digoreng dulu tanpa menggunakan minyak.
  • 1 sudu teh serbuk ketumbar.

Cara masak sup ayam istimewa

Seperti yang dikatakan diatas tadi, cara memasak sup ini bukanlah terlalu sukar. Berikut adalah langkah-langkah untuk masak resepi sup ayam istimewa saya:

  • Panaskan minyak dan tumis semua bahan yang dikisar sehingga naik bau.
  • Kemudian, tumisakan bersama bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis dan buah pelaga.
  • Seterusnya, masukkan ayam dan biarkan sebentar.
  • Masukkan 3 cawan air. Masak sehingga mendidih.
  • Apabila sup ayam mula mendidih, masukkan kentang dan lobak merah. Masak lagi sehingga kentang dan lobak merah empuk. Perlahankan api dan tutupkan periuk supaya ayam masak dengan baik.
  • Kemudian, perasakan dengan gula dan garam secukup rasa.
  • Akhir sekali, masukkan tomato, daun sup dan daun bawang. Renihkan sekejap dan tutupkan api.
  • Sup ayam istimewa siap untuk dihidangkan.

Tips

Sup ayam istimewa ini sedap juga dihidangkan bersama nasi ayam. Jika suka taburkan bawang goreng. Boleh juga masukkan 2 biji cili jika suka pedas. Semasa proses memasak sup ayam ini tutupkan periuk dan masak dengan api yang kecil supaya semua bahan masak dengan baik dan sebati.

Sup ayam ialah menu yang sihat untuk dihidangkan kepada keluarga. Jika dimasak dengan resepi yang betul, ia pasti digemari semua peringkat usia. Sup ayam ini sesuai dihidangkan pada orang yang tiada selera makan atau demam. Kurangkan minyak jika anda seorang yang pentingkan kesihatan. Resepi sup ayam istimewa ini juga sedap jika dimakan bersama bihun, mee dan kueyteow. Jadi, cuba jangan tak cuba. Selamat menjamu selera.

Add new comment