Resepi ayam masak kicap madu

Ayam masak kicap madu

Untuk resepi kali ini, kami ingin kongsikan resepi ayam masak kicap madu yang sedap dan mudah untuk disediakan. Menu yang ringkas dan tidak memerlukan masa yang lama untuk dimasak. Sesuai dijadikan menu tengahari atau malam kepada anak-anak dan keluarga. Makanan yang sihat. Saya tidak masukkan gula dalam resepi ini. Rasa manis dari madu.

Rasanya yang manis dari madu dan tidak terlalu pedas pasti enak dimakan bersama nasi putih dan ulam-ulaman. Resepi ayam masak kicap madu ini cukup ringkas, terpulang jika suka berkuah boleh letakkan sedikit air, jika tidak anda hanya ikut langkah-langkah berikut. Terdapat pelbagai resepi ayam kicap madu yang diolah sendiri, cuma kelainan yang ada untuk resepi ini, saya tambah madu dalam masakan. Selain rasa lemak kicap, diselitkan rasa madu asli. Resepi yang cukup sihat untuk disajikan buat keluarga. Selamat mencuba.

Bahan-bahan untuk ayam masak kicap madu

Resepi ayam masak kicap madu ini adalah untuk hidangan 6-7 orang. Perkara pertama yang harus dilakukan ialah menghasilkan ayam goreng. Berikut adalah bahan-bahan untuk menggoreng ayam.

  • 1 ekor ayam dipotong empat atau lapan, mengikut citarasa masing-masing
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Sedikit garam
  • Gaulkan ayam bersama kunyit dan garam, lebih sedap jika digaul bersama lada hitam dan perapkan seketika (dalam 10 minit) sebelum menggoreng
  • Gorengkan sehingga kekuningan, angkat dan toskan minyaknya.

Bahan-bahan untuk memasak

Seterusnya kita akan menyediakan bahan-bahan untuk memasak. Bahan yang diperlukan untuk resepi ayam masak kicap madu ini agak banyak. Antara yang harus disediakan adalah seperti berikut:

  • 3 sudu besar kicap pekat
  • 4 sudu besar kicap lemak manis
  • 1 sudu besar madu
  • 1 sudu besar sos cili
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 ulas bawang putih dihiris halus
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 3 biji kentang – dihiris empat dan direbuskan dahulu
  • 1 biji bawang besar – lebih sedap guna bawang Holland
  • 1/2 inci halia dihiris nipis
  • 1 biji cili merah dihiris nipis – untuk hiasan
  • Sedikit hirisan daun sup untuk hiasan

Cara memasak ayam kicap madu

Cara memasak ayam kicap madu ini tidak terlalu sukar. Berikut adalah caranya mengikut langkah demi langkah.

  • Gorengkan kentang yang direbus tadi sehingga kekuningan, kemudian angkat dan toskan minyaknya.
  • Kemudian, tumiskan bunga lawang, kulit kayu manis, bawang putih dan halia sehingga naik bau.
  • Seterusnya masukkan sos cili, kicap lemak manis dan kicap pekat.
  • Langkah berikutnya, masukkan madu dan gaul sekata. Tunggu sekejap sehingga kuah mendidih.
  • Boleh masukkan air sedikit jika kuah agak pekat.
  • Kemudian terus masukkan ayam yang digoreng tadi. Gaul rata.
  • Apabila, ayam sudah sebati dengan kuah kicap tadi, perasakan dengan garam sedikit.
  • Kemudian taburkan hirisan daun sup untuk mendapatkan bau yang wangi.
  • Ayam masak kicap madu siap untuk dihidangkan.

Tips

Didalam masakan ayam masak kicap madu, saya tidak menggunakan gula kerana manis dari madu sudah cukup. Rasa terlebih dahulu sebelum masukkan garam kedalam kuah. Masa yang diperlukan hanya 15 minit sahaja untuk menyediakan masakan ini.

Ayam merupakan lauk kegemaran bagi semua orang. Ia boleh dimasak dan dihidangkan dalam pelbagai jenis masakan. Resepi ayam masak kicap madu ini boleh menjadi koleksi baru masakan anda. Bertukar-tukar resepi masakan untuk dihidangkan kepada keluarga pasti membuatkan semua orang gembira dan hubungan kekeluargaan makin akrab. Kepada yang baru ingin belajar memasak, cubalah resepi yang mudah dan ringkas ini. Sehingga kita bertemu di lain resepi. Selamat menjamu selera.

Add new comment