Resepi ayam goreng sedap

Ayam goreng

Kalau makan di kedai, antara lauk yang saya pilih ialah ayam goreng. Kadang-kadang rasa sedap, ada juga yang tak sedap. Walaupun kelihatan sama sahaja tetapi ayam goreng juga ada resepi yang tersendiri. Hari ini, saya akan kongsikan resepi ayam goreng sedap kegemaran saya dan keluarga. Kalau goreng ayam mesti kena banyak. Saya hanya pilih bahagian yang disukai sahaja. Bahagian paha dan kepak ayam. Apa rahsia ayam goreng sedap saya?

Resepi ayam goreng sedap ini saya belajar dari salah seorang tukang masak. Saya agak pelik, sebab ramai yang datang makan ke kedainya, cuma nak makan ayam goreng sahaja. Dua ketul ayam seorang makan. Menu yang paling laris. Tengok dari cara goreng sama macam kita goreng di rumah. Tapi mesti ada keistimewaan dan rahsia sendiri. Saya balik rumah, saya cuba olah sendiri dan buat resepi sendiri. Kali pertama saya gagal, rasanya kurang enak. Saya cuba lagi beberapa kali, akhirnya saya berjaya. Resepi yang cukup mudah dan ringkas. Kepada ibu diluar sana anda harus cuba resepi ini. Jom ikut saya ke dapur. Selamat mencuba!

Bahan-bahan masakan ayam goreng sedap

Buat permulaan, anda gunakan dahulu bahan-bahan mengikut sukatan yang saya cadangkan ini. Dapatkan rasanya sebelum mengolah untuk memasak dalam kuantiti yang lebih besar. Berikut adalah bahan-bahan untuk memasak ayam goreng sedap.

  • 5 ketul paha ayam.
  • 1 sudu kecil garam.
  • 1 inci kunyit hidup – gunakan kunyit hidup yang muda, baru rasanya lebih enak.
  • 1 ulas bawang merah kecik.
  • 1 sudu kecil serbuk lada hitam.
  • Minyak untuk menggoreng ayam.
  • 3 tangkai daun kari.

Cara memasak ayam goreng sedap

Apa yang penting dalam resepi ayam goreng sedap ini ialah cara memasaknya. Seeloknya anda baca dan fahamkan dahulu, kemudian bari lakukan langkahnya. Rahsia dan cara-cara untuk masak ayam goreng sedap ialah seperti berikut:

  • Tumbukan garam, kunyit hidup dan bawang merah kecik sehingga lumat dan menjadi pes.
  • Kemudian, lumurkan pada semua bahagian ayam. Pastikan setiap bahagian ayam dilumur dengan bahan tumbuk.
  • Gaulkan bersama serbuk lada hitam. Perapkan selama 5 ke 10 minit.
  • Panaskan minyak didalam kuali dan tunggu sehingga minyak betul-betul panas
  • Masukkan daun kari kedalam minyak panas tunggu sehingga naik bau.
  • Kemudian, gorengkan ayam didalam minyak yang panas dan tenggelam. Untuk bagi ayam masak dengan sekata tutupkan permukaan kuali tadi supaya bahagian dalam ayam masak dengan elok.
  • Apabila sebelah ayam sudah kelihatan kekuningan, terbalikkan ayam kemudian goreng lagi dan tutup kembali permukaan kuali.
  • Ayam goreng sedap sedia untuk dihidangkan.

Tips

Pastikan minyak betul-betul panas semasa anda mengoreng ayam. Cara ini akan membuatkan ayam goreng anda kelihatan menarik. Boleh perapkan ayam bersama dengan sedikit minyak jika suka. Lebih sedap jika gunakan garam kasar. Tumbuk bersama bawang dan kunyit hidup sehingga jadi pes. Tumbuk banyak-banyak dan simpan dalam peti sejuk. Resepi ini boleh juga digunakan untuk goreng ikan.

Ayam goreng adalah menu kesukaan kanak-kanak. Variasikan menu makan tengahari dan malam anda supaya anak-anak lebih tertarik untuk makan. Saya harap resepi ayam goreng sedap ini akan menambah selera keluarga anda. Selamat mencuba. Jangn lupa kongsikan resepi ini kepada rakan-rakan jika anda suka.

Add new comment